Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

LEMBAGA BERWAJAH HODOH (UPDATED)

"Sebelum ini sebilangan penduduk kampung terlihat kelibat imej berwarna putih berdiri di beranda banglo," ujar Rosidi Yahya.


Rosidi, 34 tahun, seorang daripada 4 kru Penyingkap Fakta menyertai tinjauan 666 di Kampung Cempedak, Kuang, Rawang, Selangor malam tadi. Mereka membeli dan kemudian memakai baju 666, kelihatan bergaya melangkah bersama.

Perlahan, saya, Razali, Jet, Adam, Suhaimi dan Shaiful Talib serta 2 rakan Rosidi melangkah ke arah banglo tersergam di kelilingi hutan.

 

Dalam samar malam, pada jarak kurang 50 meter, banglo terbabit masih tidak kelihatan kecuali bahagian bumbung. 


Suasana di sekeliling amat sunyi, sesekali terdengar bunyi suara burung pungguk. Berkebetulan bulan sedang mengambang. Barangkali unggas itu benar merindui bulan seperti bidalan Melayu lama atau sekadar kesunyian bertemankan banglo ditinggalkan belasan tahun.


"Siapa punya banglo?," soal saya.

"Tidak tahu," balas Rosidi ringkas.

Tepat jam 11.33 malam, kami berada di hadapan banglo, berjalan menuju ke pintu utama kelihatan agak usang.


Semua kru 666 dan Penyingkap Fakta kemudian melangkah masuk ke dalam banglo dua tingkat itu. Pantas saya merakamkan gambar menggunakan kamera digital Canon G12.


Vandalisme, itu perkataan pertama terlintas di fikiran saya sewaktu berdiri di ruang berhampiran pintu utama. Dinding banglo diconteng graffiti menggunakan cat semburan.


Tidak menunggu lama, kru 666 kemudian menaiki anak tangga ke tingkat atas. Tangga berlumut dan licin turut diliputi tumbuhan menjalar, hidup segar.


Sebaik tiba di atas, kami membuat pemeriksaan.

"Tengok ini, banyak tulang, macam berlaku 'pembunuhan' beramai-ramai," usik Adam.


Burung hantu dilaporkan bersarang di rumah itu didapati meratah hasil buruan, antaranya dipercayai tikus, burung dan serangga lalu meninggalkan tulang-belulang bertaburan di atas lantai.

 

"Di sinikah orang mendakwa terlihat kelibat putih berdiri?," soal Adam.

Rosidi mengiyakan.


Jet kemudian memasang kamera video night vision manakala Razali memastikan dalam tempoh sejam setiap pergerakan, jika ada, bakal dirakamkan di ruang bilik berhampiran beranda menggunakan kamera pengesan pergerakan infrared.


Jam 11.50 malam, semua kru terbabit dalam tinjauan berada di tingkat bawah banglo itu.


"Ramai penagih datang ke sini. Cuba tengok ini, masih ada lagi 'dapur' dan baki dadah ditinggalkan di lantai," ujar Suhaimi yakin.


"Selain penagih dadah, couples datang ke sini untuk membuat maksiat terutama apabila hari hendak hujan, line clear," tambah Rosidi.

Dalam tempoh sejam itu semua kru bebas melakukan tinjauan selagi tidak mengganggu dua alat perakan di tingkat atas.

Walau bagaimana pun menghisap rokok dilarang sama sekali di lokasi tinjauan kerana asap mampu mengelirukan hasil rakaman.


Hampir jam 1 pagi, hasil rakaman kamera pengesan pergerakan dianalisa di lokasi, tiada pergerakan mahu pun imej berjaya dirakamkan.


Kami kemudian meninggalkan banglo terbabit dan bergerak ke lokasi kedua, terletak kira-kira 10 minit perjalanan menaiki kereta.


Jam 1.22 pagi, kami tiba di lokasi sasaran kedua. Saya kemudian menemui cucu pemilik rumah berusia 18 tahun.


"Dalam rumah ini pelbagai kes pernah terjadi. Nenek saya, tengah sembahyang kena sergah dek lembaga kelihatan macam pak cik saya walhal masa itu pak cik tiada di rumah. Sekali itu, nenek ternampak pak cik saya di dapur sedang mengambil makanan dari atas meja. Di belakang pak cik kelihatan lembaga berdiri  lebih kurang serupa seperti dia tetapi muka hodoh," kata remaja itu.

Untuk rekod, rumah diperkatakan itu berusia lebih kurang 51 tahun, terbiar kosong sejak 2 tahun lalu.


"Saya pernah ternampak lembaga hitam, tinggi di dalam rumah. Badan dia macam manusia tetapi bila saya perhatikan, tangan dan kaki dia macam bentuk kaki kuda," dakwa ayah remja sama.


Lelaki berusia 52 tahun itu berada bersama kami kira-kira 15 minit sebelum beredar ke lokasi dia bekerja, tidak jauh dari rumah pusaka itu.

Dengan kebenarannya, kru 666 memasuki rumah.


Lembaga didakwa menyerupai bapa saudara remaja itu dikatakan dilihat berhampiran meja di bawah.


Manakala lembaga dikatakan kelihatan memiliki tangan dan kaki seperti kaki kuda didakwa muncul di muka pintu bilik ini.


"Sebelum pak cik meninggal dunia awal tahun ini, dia menjadi seperti kurang waras. Tengok di atas lantai, saya pun tidak tahu mengapa dia membawa masuk kayu sebesar itu kedalam bilik," jelas remaja itu.

Wajahnya kelihatan keliru.


"Semasa hidupnya, dia selalu duduk di atas kerusi di dapur itu," tambahnya lagi.

Kami kemudian meninggalkan perakam audio dan video di dapur selama kira-kira 1 jam. Di awal pagi, mata terasa agak mengantuk namun keinginan untuk menyaksikan hasil rakaman menyegarkan fikiran.

Kru berehat di luar rumah.


"Di belakang sana, nenek saya cakap ada kubur Jepun," bisik remaja itu.

Pantas, saya, Adam dan Razali bergerak ke belakang rumah. Kami meredah laluan gelap dan semak, Adam dan remaja itu berjalan di hadapan.


Jam tangan saya menunjukkan pukul 2 pagi, terus meredah laluan gelap bukan satu keputusan bijak. Keselamatan kru lebih penting lalu saya terpaksa membuat keputusan barangkali sedikit mengecewakan Adam.

"Adam, jom keluar. Bahaya, mana tahu tersilap langkah terpijak haiwan berbisa," kata saya.

Kami semua beredar keluar.


"Kalau kita gali tanah di sekitar kubur itu, memang boleh nampak tinggalan pinggan pecah," ujar remaja berjalan di sebelahan Adam.

Tidak lama kemudian, hasil rakaman di dapur rumah dianalisa, malanganya sekali lagi tiada imej dirakamkan.

Tiba-tiba kru Penyingkap Fakta, Muhammad Iskandar Tajudin, 23 tahun, menawarkan diri secara sukarela untuk duduk bersendirian di dapur rumah sama sambil dipantau menggunakan walkie-talkie dari luar rumah.


Di luar, Adam menggunakan alat pengesan parabola untuk mendengar bunyi di sekitar rumah manakala Razali sesekali berhubung dengan Iskandar.


Jam 3.30 pagi, lampu di ruang dapur dinyalakan oleh Jet.


"Tidak ada apa sangat, cuma tadi pintu di tepi kanan beberapa kali nampak bergerak seperti ditolak," kata peniaga muda itu.

"Mungkin ditiup angin dari luar," celah saya.


Pantas Adam meniup daun pintu.

"Tidak bergerak pun," komennya.

Lebih 2 jam kru kami berada di dalam dan di sekitar rumah itu namun tiada bunyi atau imej entiti paranormal direkodkan.

Barangkali bukan rezeki kami. 

9 Komen :

Cik Tie@Akak berkata...

laaa....bersambung lak...tak syoknya..uhuk..uhuk

baru nk menyeramkan diri tp terbantut pula

Adam Vai berkata...

Rumah malam itu memang agak menyeramkan

Hunny Kitty berkata...

adeh...bersambunglah pulak

lynnepu3gp berkata...

alamak...sambung la plak...saspen neh... :)

farul_izraf berkata...

Entiti tu malu barangkali...

maya berkata...

entiti tu segan kot kat adam and iskandar pasal deme cute sgt....hehehe

gadisBunga berkata...

smti~

Tanpa Nama berkata...

Sekali sekala nak join lah buat tinjauan.......