Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

TANGISAN BAYI DI AWAL PAGI

Jam 11.45 malam, kru Penyingkap Fakta, PF, Mazidul, Shahrul, Ezza, Suhaimi, Farid, Qaiyum, Zul serta penasihat PF, Ustaz Zaharuddin Zainal tiba di lokasi, asrama tinggal dan semakin dimamah dek zaman. 

Di pintu masuk, kami bertemu pengawal keselamatan bertugas, Shaharudin Malek, 45 tahun. 




"Saya memang ditugaskan menjaga kawasan berpagar ini, 24 jam sehari agar tidak diceroboh," ujar Shaharudin.

Tatkala tinjauan awal dilakukan, kru kami telah mendapatkan kebenaran untuk memasuki kawasan berpagar terbabit, bertujuan menjalankan penyiasatan serta penyelidikan kes paranormal.

"Suatu malam, saya tidur dan rakan berada  di Blok L. Sekitar jam 3 pagi, kami terkejut sebaik mendengar bunyi seperti bayi menangis. Panjang bunyi itu. Pada awalnya, kami sangka berlaku kes pembuangan bayi. Maklumlah kawasan ini agak terpencil dan sunyi. Lalu  saya dan rakan bergegas ke arah bunyi tangisan itu tetapi semakin lama bunyi itu kedengaran semakin jauh. Di sekitar blok O, kami pernah melihat kelibat entiti seperti kanak-kanak, berlari-lari," dakwa anak kelahiran Alor Gajah, Melaka itu.


"Berapa lamakah kawasan penempatan ini telah ditinggalkan tanpa penghuni?," soal Mazidul.

"Kira-kira 4 tahun. Dahulu blok apartmen ini menempatkan lebih 2,400 pelajar kolej. Waktu itu pelbagai kejadian aneh berlaku. Contohnya di blok E, kerap berlaku kes histeria. Macam berjangkit, apabla seorang pelajar terkena, beberapa lagi pelajar lain akan menjerit sekali," balas ayah sembilan anak itu.

Tepat jam 12.40 malam, kami dibawa masuk ke bekas asrama tinggal di Kampung Sg. Tangkas, Kajang, Selangor itu.

Tiada sumber elektrik, oleh itu jalan kami lalui gelap, hanya diterangi lampu tinggi kenderaan.


Kami tiba di ruang parkir Blok E pada jam 12.15 malam. Kedudukan blok agak tersorok membuatkan kami berasa berada di dunia lain. Keadaan di sekeliling gelap gelita dan sunyi. Sesekali terdengar monyet mengekek, barangkali dikejutkan oleh bunyi deruan kenderaan kami naiki.


"Melalui pengalaman merawat ramai pesakit gangguan jin selama lebih 18 tahun, saya dapati histeria lazim berlaku di asrama pelajar perempuan. Antara sebab utama, tuala wanita tidak dilupuskan di satu tempat khas. Mungkin dibuang begitu sahaja tanpa dibersihkan terlebih dahulu. Jin memang gemarkan benda kotor. Petua berguna, kalau berhadapan dengan mangsa histeria, asingkan dia daripada individu lain. Jangan pandang mata dia. Apabila pesakit memandang tepat mata pesakit, dia macam bisu ular, diludahkan dan terkena kepada individu berhampiran. Pelajar kerap berasa tertekan terutama ketika mentelaah pelajaran untuk menduduki peperiksaan. Jiwa tertekan membuka ruang kepada jin untuk masuk ke dalam tubuh," terang Ustaz Zaharuddin kepada pengawal keselamatan itu.


Tambah ustaz lulusan pengajian Syariah Universiti Al-Azhar, Mesir itu, jin mudah merasuk tubuh manusia tatkala berada dalam keadaan terlalu gembira, sedih atau takut.

Kru PF kemudian mengeluarkan secara cermat peralatan elektronik dari but kenderaan sebelum mengagihkan kepada kru bertugas.


Selepas Farid menyampaikan taklimat ringkas berhubung butiran latar belakang lokasi sasaran, tepat jam 12.34 malam, perlahan dan berhati-hati kami memasuki Blok E dan naik ke tingkat 4.


"Di bekas bilik pelajar di tingkat empat ini, kejadian histeria paling kerap berlaku sewaktu asrama ini masih dihuni. Saya berani datang ke sini sebab bersama kru PF," celah Shaharudin.

Wajah Shaharudin kelihatan selesa sewaktu berbual bersama Zul dan Ustaz Zaharuddin.


Bermula jam 9 malam, Qaiyum komited mengemaskini akaun Twitter PF, klik di sini. Dia berkongsi maklumat bersama ribuan pengikut akaun terbabit berhubung perkembangan terkini tinjauan kru di lokasi.

Maklumat sama juga disebarkan di laman facebook PF, klik di sini.


Kru bersifat ringan tulang itu kemudian membantu Shahrul, Farid dan Zul, memasang kamera video infrared di lorong bekas bilik asrama pelajar perempuan itu.


Tatkala berada di sini, sesekali terdengar sayup bunyi salakan anjing sambung-menyambung. Mungkin haiwan terbabit meraikan kehadiran bulan hampir mengambang penuh pada malam itu.

Debaran terasa, kami ketepikan.


Kamera video infrared dipasang berfungsi merakamkan visual di dalam keadaan gelap gelita. 

"Jika berseorangan, memang saya tidak akan datang ke sini. Khuatir, andai berlaku kejadian tidak diingini, tiada siapa akan tahu. Sebelum ini, beberapa kali saya menangkap penceroboh dan juga pencuri besi. Saya menonton Majalah 3 pada 6 Januari lalu dan melihat kru PF. Semua kru dewasa. Saya perhatikan tinjauan juga dilaksanakan secara sistematik. Jadi saya membuat keputusan memberikan peluang eksklusif untuk kru PF menjalankan penyelidikan di sini," kata Shaharudin.

"Terima kasih, kami amat menghargai kerjasama dihulurkan. Sebelum ini adakah kumpulan lain masuk ke sini pada waktu malam?," tanya Mazidul.


"Ada tetapi saya terpaksa halau. Umur mereka muda lagi, lingkungan 21 tahun. Menceroboh untuk berseronok tanpa memikirkan risiko. Contohnya, dua lelaki dan seorang perempuan masuk, saya tangkap. Tiada peralatan dibawa, hanya sekadar menggunakan cahaya lampu telefon bimbit. Bukankah tindakan itu berbahaya? Jika tercedera, siapakah akan bertanggungjawab?," dia meluahkan kekesalan.


Kamera pengesan pergerakan infared dipasang di tingkat bawah bangunan sama.


Pukul 1.13 pagi, kami kemudian berehat di ruang parkir kenderaan blok terbabit. Shaharudin kemudian menonton episod Majalah 3, 'Penyingkap Fakta Paranormal' menggunakan telefon pintar, bersama Ustaz Zaharuddin.

Jika pembaca belum menonton episod itu, klik di sini.



Pada jam 2.03 pagi, semua kru melangkah masuk ke bangunan sama untuk mengambil kembali kamera ditinggalkan sejam lalu.

Perhatikan gambar Shahrul direkodkan oleh Qaiyum.



Cahaya merah dalam bentuk bulat dirakamkan tanpa sengaja di gambar pertama.




Selepas peralatan dibawa keluar, kru PF merakamkan gambar sebagai kenangan, diabadikan di blog ini.




Jam 2.57 pagi, kami memasuki Blok O, terletak berhampiran pintu pagar utama.


Di sekitar lorong masuk ke bangunan, Ustaz Zaharuddin merakamkan gambar di bawah menggunakan kamera telefon bimbit.



Tatkala kami melangkah masuk, cuaca amat tenang tanpa tiupan angin.


 

Kru kemudian meletakkan kamera video infrared di atas tangga blok bersebelahan, menghadap ke Blok O.

"Kelibat kanak-kanak berlari itu dilihat di antara dua  blok ini," bisik Shaharudin.



Sebaik kamera dipasang, kedengaran angin bertiup kuat di bahagian atas bangunan. Pelbagai bunyi kami dengari. Hairannya daun pohon besar berhampiran lokasi kami berdiri, tidak langsung bergerak. 

Semua kru secara spontan berpandangan antara satu sama lain.

"Bunyi kita dengari sekarang ini, sangat perlahan. Sewaktu saya, Ezza, Zul dan Suhaimi melakukan tinjauan awal pada waktu siang beberapa hari lalu, lagi hebat. Masa kami berdiri di sini, pintu di bilik atas bak dihempas kuat, berulang kali. Walhal pada ketika itu tiada angin bertiup di kawasan ini. Dahan pokok dan daun di sekitar tidak bergerak. Saya sampai menjerit, bunyikan kuat lagi! Kami kemudian naik ke tingkat empat dan mendapati daun pintu telalu berat untuk bergerak andai kata ditiup angin sekalipun," Farid bersuara.


Namun kru PF tetap meneruskan tugasan meletakkan dua kamera di lokasi itu. Wajah Ustaz Zaharuddin kelihatan tenang, ketika berdiri di sebelah Farid dan perlahan dia membaca ummul kitab, Al-Fatihah.



Kami menggunakan waktu singkat terbabit untuk merakamkan gambar secara rawak di ruang di antara dua blok itu. Manakala Qaiyum melangkah tenang, menggunakan alat perakam audio parabolik, cuba merekodkan sekiranya kedengaran bunyi aneh di kawasan sama.



Perhatikan dua gambar di bawah,  di rakamkan pada jam 4:10:17 pagi dan bandingkan dengan gambar berikutnya dirakamkan pada 4:10:19.


Kira-kira sejam kemudian semua peralatan termasuk perakam audio dibawa keluar.


Kami semua kemudian memandu pulang ke rumah masing-masing.

Kamera pengesan pergerakan infrared didapati diaktifkan pada jam 3.06 pagi tetapi tidak memaparkan visual entiti paranormal. 


Hasil rakaman 2 jam kamera video infrared sedang dianalisa oleh Shahrul dan In Sha Allah, hasilnya bakal kami kongsikan bersama semua pembaca setia blog ini.

Kepada pembaca ingin memiliki t-shirt PF atau mendapatkan khidmat rawatan gangguan jin, sila hubungi Shahrul 019 270 9061.

0 Komen :