Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

MISTERI BANGLO DI PUNCAK BUKIT

"Saya dengar orang kata, banglo itu memang besar bro. Kita boleh parkir kereta di tepi jalan, lepas itu mendaki bukit sedikit. Menurut pak cik saya jumpa masa dia jogging, usia banglo itu lebih 30 tahun," ujar kru Penyingkap Fakta, Suhaimi Salim.

Saya kemudian menggunakan Google untuk mendapatkan butiran berhubung banglo diperkatakan oleh Suhaimi.

'It's reported that at night, females eering sound, crying sound can be heard', catat penulis di laman forum.lowyat.net. Teman wanitanya mendakwa berlaku kes 5 sekeluarga membunuh diri di banglo terbabit. Dia berkongsi butiran itu di sini.


Jam 10.30 malam tadi, saya bersama kru 666, Razali, Alfee, Atoi dan Suhaimi ke lokasi sasaran di Taman Tenaga, Puchong, Selangor.

Objektif utama kami, untuk menyingkap fakta di sebalik pelbagai dakwaan disebarkan melalui internet selama ini. Benarkah kedengaran suara wanita menangis menyeramkan di banglo itu? Itu antara persoalan bermain di minda,  sebaik saya memakir kenderaan berhampiran banglo.

Semua kru bersiap sedia untuk bergerak. Sebelum melangkah, Alfee dan Atoi memastikan kamera digital dan kamera litar tertutup infrared berfungsi. 


Pendakian kemudian bermula.


Jalan dahulunya berturap tar kini hampir keseluruhan ditutupi oleh rumput.  


Lihat keadaan di kiri dan kanan jalan.


Tiba-tiba Suhaimi berhenti berjalan sekaligus pantas menyuluh daun pokok keladi di hadapannya.


"Macam ada orang lalu sahaja," ujar saya spontan.

Suhaimi hanya membisu.

Perhatikan batang keladi patah.


Kurang 5 minit berjalan kaki, kami tiba di pintu pagar utama banglo kini ditutupi daun pokok.


Mereka mendongak namun banglo itu masih tidak jelas kelihatan.


Ternyata hutan tebal di sekeliling banglo telah 'menelan' struktur dilaporkan selama ini gah berdiri di atas bukit itu. Kami kemudian terus melangkah sebelum tiba di pintu masuk rumah.


Keadaan agak sunyi, sesekali terdengar bunyi deruan enjin kenderaan melintasi jalan berhampiran. Biarpun gelap, perlahan kami melangkah masuk ke dalam rumah berbekalkan lampu suluh dan lampu kalimantang mudah alih dibawa oleh Razali.

Saya kemudian merakamkan gambar di bawah.


Setelah meletakkan tripod dan beberapa perlatan lain di atas lantas, kami kemudian naik ke tingkat 2 didahului oleh Suhaimi.

Atoi dan Alfee merakamkan gambar pegun dan video.


Di tingkat terbabit kami merakamkan lebih banyak gambar di dalam di luar banglo untuk dikongsikan bersama pembaca setia blog ini.


Sewaktu asyik merakamkan ruangan di dalam banglo, tiba-tiba Alfee bersuara.

"Diam sekejap, cuba dengar bunyi di atas," bisiknya kepada kami semua.


Jam tangan saya menunjukkan pukul 10.50 malam. Pantas Razali bergerak ke arah tangga dan diekori rapat oleh Suhaimi, Atoi dan Alfee.


Pada awalnya saya menjangkakan mereka terdengar bunyi tangisan wanita meminta tolong seperti didakwa sebilangan penulis di internet.

Semua kru membatukan diri tanpa suara buat seketika sambil memasang telinga. Jantung berdegup sedikit kencang berbanding sebelumnya namun semua kru 666 masih kelihatan tenang.

"Siapa di atas itu?," laung saya.

Pada masa sama Suhaimi meluru ke tingkat tiga menaiki tangga.

"Apa awak buat di sini?," soalnya.


"Saya tinggal di sini, tuan rumah suruh saya jaga dan kasi bersih ini rumah," ujar lelaki Cina duduk mencangkung sedang memasak mee segera.


Dia tinggal di dalam bilik bersepah tanpa bekalan elektrik, hanya sekadar bertemankan cahaya lilin malap. Pada awalnya, kami menjangkakan dia penagih dadah tetapi ternyata telahan itu meleset.

Tidak kelihatan jarum mahupun botol lazimnya dijadikan 'dapur' oleh penagih dadah di ruang dijadikan tempat tidurnya.

"Awak orang mana?," soal saya.

"Saya asal Seremban, Negeri Sembilan tetapi ada short sikit (tidak waras),  keluarga tidak suka sama saya. Saya sini mari, tidak mahu pulang (ke Seremban)," balasnya tenang.


"Jarang orang gila mengaku gila, lepas itu siap bancuh Nescafe 3 ini 1 lagi bro," gurau Razali. 

"Apa nama?," tanya saya.

"Ng," jawabnya.

Sambil bersembang, Ng mengoyak kertas keras dijadikan cebisan lebih kecil untuk dibuat bahan bakar.  Razali kemudian duduk berhampiran Ng sambil memerhatikannya dari dekat. Manakala Alfee bertindak merakamkan perbualan kami.


"Berapa lama tinggal di sini?," tanya Razali.

"Sudah lebih satu tahun," katanya ringkas.

"Ada dengar suara perempuan menangis?," soal Razali lagi.

"Tidak ada tetapi dahulu masa saya duduk di bilik bawah (tingkat dua), bila tidur dia datang dalam mimpi. Di bilik sebelah serupa ada orang bising, bunyi serupa air paip kasi pasang," jelasnya.

Untuk rekod, tiada bekalan air disalurkan ke banglo itu. Untuk minum, Ng dilaporkan terpaksa membeli air daripada mesin vending disediakan di kawasan berhampiran.


Menurut Ng, dia berusia 42 tahun, bujang dan bekerja sebagai pengutip sampah untuk dikitar semula.

"Pernah dengar cerita ada orang mati di rumah ini ke?," soal saya.

"Ada, orang bawah sana (jiran) cakap sama saya. Tahun 1979 empat orang mati dalam ini rumah. Itu masa, dia orang baru sahaja duduk sini," terangnya.

"Bunuh diri ke atau dibunuh?," soalan susulan saya ajukan.

"Itu saya tidak tahu, dia orang mati macam mana. Selepas itu, ini rumah ada orang beli, kasi bikin cantik tetapi itu cerita orang mati, ramai orang sudah tahu. Jadi orang tidak mahu beli dan duduk sini," ujarnya.


"Ng, pernah duduk Tanjung Rambutan ke?," tanya saya.

"Tidak tetapi ada time, saya punya kepala tidak betul," dakwanya.

Secara tiba-tiba terlintas di fikiran saya, jika Ng waras, masakan dia sanggup tinggal bersendirian di banglo gelap terletak di atas puncak bukit didakwa menyeramkan di kalangan masyarakat setempat.

"Sebelum ini pun ada orang putih datang sini. Dia orang letak banyak kamera dalam semua bilik, kasi tinggal satu hari. Lepas itu dia orang datang angkat balik," celahnya.


"Orang putih pun datang ke sini untuk membuat kajian juga rupanya," ujar Alfee.

Suhaimi tanpa disuruh mengira jumlah bilik tdiur di banglo terbabit.

"Bilik tidur sahaja ada lapan, toilet empat. Bayangkan betapa kaya pemilik rumah ini, mampu membina rumah sebesar ini lebih 30 tahun lalu," kata Suhaimi.


"Siapa lagi selalu datang sini malam malam?," terpancul soalan itu dari mulut Razali.

"Hujung minggu adalah itu budak budak lelaki nakal,  Cina sama Melayu mari sini bawa girlfriend. Dia orang bikin tidak baik punya hal, sana bawah. Dua tiga hari, dia orang sini datang bawa itu buah, makanan untuk sembahyang sekali sama sami atau bomoh. Itu sami pun pernah sini tidur satu malam. Dia cakap satu orang cakap, tolong jangan kasi kacau itu budak budak lagi," ujarnya dengan nada agak serius.

Kami semua terdiam.

"Itu bomoh Indonesia pun pernah datang sini, dia pun cakap serupa juga," tambahnya.

Selain penagih dadah, pasangan remaja pelbagai bangsa sering menjadikan rumah dan banglo tinggal sebagai lokasi untuk berasmara.

Kejadian serupa didakwa berlaku di banglo ditinggalkan sejak 32 tahun itu.

Setelah mengucapkan terima kasih kepada Ng serta menghulurkan sedikit wang belanja, kami semua bergerak ke tingkat bawah.

Ng sebelum ini, tidur di bilik hujung, di lokasi Alfee kelihatan berdiri. Di bilik sama, dia mendakwa sering terdengar bunyi bising dalam mimpinya.


Ruang tengah di sebelah kiri, tandas bilik utama keluarga pernah menghuni banglo itu.

Razali kemudian meletakkan kamera pengesan pergerakan infrared di bilik utama manakala Alfee memasang dua kamera litar tertutup infrared di tepi tingkap.


Sementara menunggu mereka, saya sempat merakamkan suasana di sekitar banglo sama.


Kamera ditinggalkan di ruang terbabit selama kira-kira 1 jam sebelum kami beredar keluar dari banglo didakwa berpuaka itu.

Kamera pengesan pergerakan infrared tidak merakamkan sebarang imej ganjil manakala hasil rakaman kamera litar tertutup milik Alfee belum lagi diketahui sewaktu entri ini ditulis.

Kami juga tidak mendengar bunyi ganjil selama lebih 2 jam berada di premis itu.

"Bro, tadi masa saya bersembang dengan dia, Ng cakap dia menang sudah banyak kali terdengar macam macam bunyi, bukan dalam mimpi. Cuma dia sudah tidak kisah," bisik Razali sebelum kami keluar dari banglo itu.

Saya hanya mampu tersenyum. 

Barangkali hanya Ng mengetahui misteri sebenar di sebalik banglo tinggal itu.

NOTA

Sila baca nukilan berhubung tinjauan kami ke banglo terbabit dari kacamata Alfee, klik di sini.

15 Komen :

Admin berkata...

Hmm..tgk2 Ng tu entiti..he he

Fadzli Amir berkata...

Salam...fuhh saspen je.....hehehehe...Best....tunggu update gambo..

De R Cher berkata...

jgn lupa sumbang bantal buat ng tu bro.

ikhwan berkata...

heabt a Ng.

lynnepu3gp berkata...

smti...banglo tuh mmg cantik..pemandangan indah...alangkah ruginya.... :)

En. Ng sangat berani.

Adam Vai berkata...

SMTI

Nadie az berkata...

SMTI...menarik...

farul_izraf berkata...

Dibayar RM100 pun belum tentu ada yang berani masak maggi sorang2 dlm rumah tu hehehehe

Nu-are berkata...

biler krew 666 nak gi melawat hillview pulak bro

kaki Ng jejak tanah. fewhhh...lega... :D

dayang Citra berkata...

Budak2 yang dating tu tak takut pulak ngan hantu...agaknya nafsu lagi kuat dari takut..

Camana ada nama 'AFIF' pulak kat situ tu eh? he he

Unknown berkata...

Nu-are, Hillview?

Red, secara kebetulan agaknya bro.

Sya berkata...

nape mcm tadika je banglo ni ye...corak mcm2...heheh..colorful..