Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

MATA MERAH

"Isteri saya InsyaAllah akan bersalin pada 16 Januari, isteri Boy, 12 Januari," ujar ustaz Zaharuddin Zainal.

Beliau antara perawat Kasturi Syifa'.


Ketika itu, kru 666 dan beberapa kru Penyingkap Fakta sudah berada di lokasi kami sering bertemu, Restoran Bestari Maju di Seksyen 11, Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.


"Macam hendak hujan?," tanya saya.

"Laporan cuaca kata it is going to be a wet Christmas," celah Jet.

Pensyarah kanan Universiti Teknologi Mara Shah Alam itu kelihatan begitu bersemangat membelek kamera digital Canon PowerShot G12 baru dibelinya 2 hari lalu.


"Selalunya kalau kamera baru, boleh dapat gambar entiti," usik ustaz Zaharuddin.

Spontan Jet tersenyum namun jarinya asyik bergerak di atas skrin Galaxy Tab miliknya. Barangkali kini pelajar Doktor Falsaah di Universiti Malaya itu sudah mempunyai ramai peminat dan sering berkomunikasi melalui Facebook.

Apa pun, kekadang saya begitu terusik dengan gelagat serta gurauan kru 666 biar pun sebelum ini mereka tidak mengenali di antara satu sama lain.

Contoh jelas seperti Azayusrin dan ustaz Zaharuddin.

"Saya menumpang kereta ustaz Zaharuddin tadi untuk datang ke sini," kata Azayusrin.

Mereka menetap di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

"Tadi dia kata pernah berjumpa saya tetapi saya susah hendak ingat. Rupanya Aza pernah membayar zakat di masjid sewaktu saya menjadi amil," jelas iman Masjid Sungai Besi, lulusan Universiti Al-Azhar, Mesir itu.

"Ustaz kan glamor. Bila menjadi amil ramai orang datang berjumpa. Tentunya susah hendak mengingati wajah semua orang," celah saya mengusik Zaharuddin.

Ketika itu Atoi dan Boy sibuk meneliti Sony Voice Recorder dan head phone baru dibeli minggu lalu untuk digunakan bersama perakam suara parabola.


Dua suami, Boy dan ustaz Zaharuddin, isteri mereka sedang menunggu waktu untuk bersalin dalam jangka waktu terdekat tetapi masih berupaya meluangkan masa menyertai tinjauan bersama kru lain.

Pastinya mereka dijodohkan dengan isteri cukup memahami minat suami mereka.

Sikap memahami itu juga dikongsikan oleh isteri kru Penyingkap Fakta, Azizul Azzemin, 42 tahun, datang bersama anaknya, Anwar, 18 tahun dari Batu Berendam, Melaka.


"Saya hendak membeli baju 666, 2 helai," pinta Azizul sebaik bertemu kami.

Dia kemudian memesan 2 lagi baju sama selepas memakai baju diserahkan oleh Razali.


Kira-kira jam 11 malam, kami bertolak ke Mutiara Gombak untuk bertemu 2 lagi kru 666 dan perawat Kasturi Syifa'.


Ustaz Musleh Muhammad Ali dan Ashraff sedia menunggu kami di lokasi dijanjikan, berhampiran pejabat Kasturi Syifa'.


"Peniaga itu menggunakan pamplet Kasturi Syifa' tetapi menjual produk lain," kata Boy.

Bakal ayah itu berasa tidak berpuas hati berikutan tindakan peniaga tidak dikenali. Luahan Boy boleh dibaca di sini.


"Hai sejak bila ada share di Kasturi Syifa' ke?," usik saya.

Kami tertawa.

"Ustaz Musleh, lazimnya begitulah. Apabila produk bagus maka akan ada kebarangkali pihak tidak bertanggungjawab  menyalahgunakan nama produk itu," kata saya.

Saya percaya Boy menulis berdasarkan persahabatan terjalin di antara kru 666 dan semua perawat Kasturi Syifa' selama ini.


Jam 12.05 malam, kami mula bergerak ke arah Genting Highland, Bentong, Pahang menggunakan jalan Gombak lama.

Semua kru berhubung menggunakan walkie-talkie dibekalkan oleh Azayusrin di sepanjang perjalanan.

Suhaimi menaiki kenderaan bersama Azizul dan anaknya.

"Nanti kita akan singgah di kubu peninggalan Jepun," kata Asraff.


Kira-kira 10 minit kemudian, kami tiba di lokasi.


"Kubu ini, kita boleh masuk tetapi tidak begitu dalam. Di bahagian atas ada lubang angin tetapi tinggi, tidak boleh dipanjat," Boy melaporkan.

Jet dan Aza turut mengambil peluang memasuki kubu terbabit.

"Dinding batu," celah Aza.


Menamatkan acara 'lawatan sambil belajar' itu, semua kru kemudian beredar menggunakan laluan sunyi pada waktu malam itu.

"Nanti kita akan jumpa jalan naik ke Genting Highland di sebelah kanan dan kawasan Rawat dan Rehat Genting Sempah di kiri. Selepas itu kita akan bergerak menuju ke arah Kuantan dan memasuki jalan Karak lama," jelas Jet sambil duduk di belakang.

Bakal doktor falsafah itu kelihatan duduk seperti bos.


"Di sebelah kiri ada kawasan penempatan kosong, hendak singgah ke?," soal Ashraff.

Semua bersetuju untuk berhenti buat seketika.


"Saya periksa pondok pengawal tadi, radio terpasang tetapi tiada siapa di dalam," kata Azayusrin.

Azaysurin, anggota polis berpangkat kopral, kini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur.

"Barangkali dia pun tidak sanggup duduk di sini seorang diri, tempat ini gelap dan sunyi," celah saya.

Di tepi jalan sebelum tiba di lokasi terbabit, saya hanya melihat kuil Hindu dan beberapa anak muda berbangsa India duduk di atas motosikal diparkir di tepi jalan gelap.

"Itu Pusat Pengajian Luar, Universiti Malaya," celah Suhaimi.


Semua kru berpeluang merakamkan gambar di kawasan sekitar selama lebih kurang 15 minit sebelum menaiki kenderaan dan meneruskan perjalanan seperti dirancang.


Jam 1 pagi, semua kenderaan berhenti di tengah jalan.

Di hadapan kami, trak penunda sedang menarik naik kenderaan terhumban ke dalam gaung di sebelah kanan jalan berbengkang-bengkok itu.

Berikut gambar pertama saya rakamkan dari dalam kenderaan dipandu oleh Atoi.


Azizul dan anaknya turut keluar dari kenderaan dipandu untuk menyaksikan kemalangan berlaku selepas waktu tengah malam itu.


Puas saya memerhatikan jika terdapat mangsa tercedera namun tidak kelihatan.

"Di mana pemandu kereta?," soal saya kepada pekerja trak penunda.

"Entah, kami pun tidak jumpa," balasnya.


"Bayangkan bagaimana mangsa terhumban, merangkak keluar dari dalam kereta dan naik ke tebing jalan dalam keadaan gelap gelita," celah saya.

Pemandu itu bernasib baik andai terdapat pemandu sudi berhenti untuk menghulurkan bantuan.

"Saya rasa kereta terbabas di selekoh itu, berpusing dan kemudian terhumban bahagian belakang dahulu," ujar Ashraff.

Untuk rekod, Ashraff pemilik bengkel membaik pulih kereta di Gombak pada selepas waktu tengah malam, dia bertugas dengan syarikat trak penunda kenderaan terbabit dalam kemalangan.

Hujan pada awalnya turun rintik rintik mula bertukar lebat.

 

Tepat jam 1.10 pagi kami meneruskan perjalanan menyusuri laluan gelap, licin dan berliku. Hampir jam 2.30 pagi semua kenderaan dipandu oleh kru 666 memasuki jalan Karak lama.

Hujan turun semakin lebat.

"Kita singgah di balai polis di sebelah kanan jalan," kata saya melaui walkie-talkie.


 Sebelum itu kami bertemu VJ dan Adam  di pekan Karak, menunggu tidak jauh dari balai polis sama.


"VJ tidak celebrate Krismas ke?," soal saya kepada wartawan sukan akhbar The Malay Mail itu.

"Tidak bang," balasnya sambil tersenyum.

Sejak mengenali anak muda berasal dari Dengkil, Selangor itu, dia memang murah dengan senyuman dan seringkali diusik oleh Adam.

Saya difahamkan, kini hati dua sahabat itu sudah dimiliki.  

"Actually I celebrate semua (perayaan) bang," celah VJ.

Kami kemudian bertanya kepada anggota polis bertugas berhubung lokasi didakwa 'keras' di sepanjang jalan Karak lama.

"Selama bertugas di sini, tidak pula pernah saya mendengar tempat sebegitu," jelas anggota terbabit.


"Apa pun nanti saya cuba memanggil anggota lama bertugas di balai ini, " ujar anggota berpangkat lans kopral itu.

"Sebelum ini ada orang mendakwa, sewaktu dia dan suami melalui jalan itu pada waktu tenagh malam, mereka terlihat kelibat orang tua bongkok sedang berjalan sendirian. Kata isteri, kasihan orang tua itu. Beberapa minit kemudian kenderaan berselisih secara berterusan membunyikan hon. Dakwanya, pemandu kenderaan lain ternampak 'orang tua' itu menumpang di atas bumbung kenderaan mereka naiki," kata saya.


Hujan lebat memaksa kami berteduh sambil menunggu rakan setugas anggota terbabit.

Saya perhatikan VJ sibuk menghubungi seseorang pada jam 2.39 pagi. Pastinya dia bukan berkomunikasi dengan atlet kebangsaan untuk membuat liputan latihan keesokkan harinya.


Hari ini cuti umum, hemat saya, atlet juga tidak berlatih.

Sebaik 4 rakan anggota itu tiba di balai, kami dimaklumkan berhubung 2 lokasi dikaitkan dengan kemunculan entiti paranormal.

"Di kawasan kubur Cina, memang ada dakwaan orang ramai ternanpak pocong," kata mereka.

Adam, VJ, Atoi, ustaz Zaharuddin, Azizul, Anuar dan beberapa kru lain bergerak ke lokasi dimaksudkan.


Namun ternyata hujan lebat menghalang mereka daripada terus melakukan berada di jirat Cina itu.

"Gambar pegun dan hasil rakaman audio juga terganggu," keluh Adam.


Sebelum ke jirat Cina Adam dan Anuar melakukan tinjauan di belakang rumah, lokasi kami berteduh.

Jam 3 pagi, Adam menghalakan lampu suluh ke arah saya lalu saya bergegas menghampiri mereka.

"Baru sekejap tadi, saya dan Anuar ternampak macam bentuk mata berwarna merah di hadapan itu," bisiknya.


Pantas saya merakamkan gambar di sekitar lokasi itu biar pun terasa titisan hujan mula membasahi baju 666 saya pakai.

"Ada pokok buluh rupanya di sini bang," kata Adam.

Melihat rumpun buluh itu, barangkali dia teringat kembali kejadian berlaku pada 8 Oktober lalu, klik di sini. Sila baca blog Adam di sini jika ingin mengenali pelajar Segi College itu secara lebih dekat.


"Berulangkali penduduk tinggal berhadapan rumah ini mendakwa terlihat lembaga  hitam tinggi, bak berdiri di antara 2 rumah ini," ujar sumber.


Boy meletakkan kemara night vision berhampiran dinding kanan rumah dan secara cermat menghalakan lensa ke kawasan tanah lapang di antara 2 rumah dimaksudkan.


Rakaman hanya berpeluang dibuat selama 30 minit memandangkan kami harus pulang sebelum jam 5 pagi.

Jika terdapat hasil rakaman menarik, InsyaAllah akan kami kongsikan bersama pembaca.

5 Komen :

Musafir Bumi berkata...

syukran atas perkongsian...terbaik!

saya berdebar masa membacanya.

lynnepu3gp berkata...

smti...

Tanpa Nama berkata...

ASSALAMUALAIKUM..saya berminat dgn setiap cerita dlm Penyingkap fakta ini..Di sini saya ingin berkongsi tempat yang agak misteri dan kalau boleh dpatlah KRU 666 menyingkap fakta di tempat yg akan sya beritahu ini

Lokasi : Bukit Tanjung,Lapangan Terbang Lama ,Kg Tanjung Labuh ,Batu Pahat,Johor

1)Kalau nak kesana boleh melalui jalan lama dari Batu Pahat ke Pontian (untuk ke Johor bahru)
,
2)Berdekatan dengan Lapangan Terbang Lama (digunakan oleh pihak Jepun waktu perang dunia kedua)

3)Macam2 cerita misteri, penduduk asal kampung ceritakan,salah satu nya ,ada harta karun (peninggalan lanun/atau perang),harta tersebut di ceritakan terletak di dalam sebuah gua di pinggir pantai Bukit Tanjung tersebut.Dahulu ramai yg cuba nak ambil harta tersebut tetapi gagal,(ada penunggu)

4)Di atas Bukit Tanjung adabeberapa makam/kubur lama,tak pasti siapa punya,dan salah satu nya di balut kain kuning,mcm2 kejadian misteri berlaku di situ,dan ada satu perigi lama di kaki bukit..

5)Sekarang ni kawasan Lapangan Terbang Lama itu telah di ambil alih oleh pihak Ittho(KUITTHO),utk buat kawasan latihan marin ,jadi mungkin perlu minta kebenaran dulu,

6)Kampung Tanjung Labuh ini pernah tersiar ceritanya dalam majalah MASTIKA (tak ingat bila)

Harap KRU 666 dpat menyingkap rahsia tempat tersebut kerana hingga kini misteri belum terjawab

Maafkan sya kerana komen panjang sgt..
Terima kasih

asssalamulalaikum

aisyamien berkata...

alhamdulillah...selama 2 tahun sy tinggal di karak,sy tak jumpa apa2 lg...hehe