Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

DIEKORI LEMBAGA BERMATA MERAH BESAR

Tengahari semalam, kru Penyingkap Fakta,  saya, Razali Harun, Jet dan Zulfadli  ke Kampung Baru Sungai Buloh, Selangor.

Kami berempat menuruni tebing sungai, sedikit cerun.




"Ada antara mangsa kejadian letupan kilang bunga api di seberang sungai melarikan diri sampai ke sini, kepanasan akibat terbakar," kata Razali.


Kilang Bright Sparklers meletup sekaligus mengggegarkan kawasan beradius sekitar 7 kilometer pada jam 3.45 petang, 7 Mei 1991.  Dua puluh enam terkorban dalam kejadian di digelar 'Hiroshima Sungai Buloh' itu.


Ramai antara generasi muda di bawah usia 21 tahun barangkali tidak mengetahui kes melakarkan sejarah hitam Malaysia.

Terdapat mayat terbenam di tanah.


Kami cuba untuk mencari tapak kilang terbabit selepas lebih 20 tahun berlalu. Sebelum menyusuri lorong berhampiran tebing sungai, kami singgah seketika di monumen peringatan tragedi dibina oleh masyarakat tempatan.


"Jom, kita ikut jalan di tepi sungai itu. Rasanya jalan itu akan membawa kita terus ke tapak kilang" ajak Razali.

Selaku anak kelahiran tempatan, dia lebih mahir mengenai selok-belok kawasan terbabit. 


Akhirnya, setelah berjalan kira-kira 50 meter, langkah kami terhenti kerana jalan ke arah tapak kilang dihalang oleh pagar.  

Hampa dan tubuh berasa miang, kami berpatah kembali.


Sewaktu memandu keluar dari kawasan berhampiran sungai, kami memasuki satu daripada lorong berhampiran deretan kilang di Lorong Industri.


"Lu nampak itu bangunan putih hujung sekali ah? Sana sebelah ada itu stor simpan tepung. Dulu itu kilang letup punya sanalah dia punya tapak," ujar pengawal keselamatan, lelaki Cina kami temui.


Biarpun cuaca panas terik, dia selamba melakarkan peta di tanah keras  untuk panduan kami bergerak  ke lokasi dimaksudkan.


"Uncle tidur sinikalau malam malam, ada nampak hantu ke?," tanya Jet selamba.

"Mana ada hantu,  saya sudah satu tahun lebih, sini jaga. Orang jadi hantu ada,  sini mari, malam  curi barang," celah lelaki itu.

Dia mengaku pernah menghabiskan lebih setahun daripada waktu mudanya ditahan di Kem Tahanan Kemunting, Perak selama 16 bulan. 

"Ceritalah sikit sebab apa duduk di sana?," pinta saya.


"Muda dulu, jahat. Sekarang mahu cerita pun malu," katanya.

Kini dia berusia 54 tahun dan masih bujang dan kesan tatoo masih kelihatan jelas  di lengan kirinya.

Kami kemudian bergerak ke stor dikatakan oleh lelaki itu.


"Betullah, di belakang itu tapak kilang mercun Bright Sparklers. Kalau mengikut angka rasmi memang  26 orang maut  di sini tetapi sebilangan berkata,  lebih 100 mangsa terkorban dan mungkin tubuh mereka hancur berkecai akibat letupan terlalu kuat," bisik Razali sewaktu memandu kereta.

"Mungkin pekerja stor itu banyak mengetahui kisah seram tersimpan di situ," balas saya.


Pada  petang  5 September 2013, saya dan Razali, secara berkebetulan lalu di hadapan rumah penduduk Melayu di seberang sungai.


Tatkala memandu keluar dari kawasan penempatan ini, kami terserempak 2 lelaki memperbaiki kenderaan di tepi Jalan Haji Karim.

"Pelbagai kejadian aneh berlaku di sini sejak saya dan keluarga tinggal di rumah ini 5 tahun lalu," ujar Mohd Nizam Nahruddin. 

Nizam, 46 tahun, ayah kepada 8 anak berusia di antara 1 tahun 4 bulan dan 18 tahun.

"Itu dalam workshop saya, sewaktu pekerja menghabiskan kerja sehingga lewat malam. Tiba-tiba, ada suara kedengaran bertanya, "engkau buat apa di sini? Mujur pekerja saya bertenang dan membalas balik," aku membuat kerja aku, bukan mengacau engkau. Saya pun pernah terlihat lelaki berpakaian seperti warna katak hijau melintasi kawasan luar rumah,"  jelasnya.


Di belakang bengkel, sungai.


Jarak di antara rumah Nizam dan tapak kilang bunga api mencetuskan tragedi itu dianggarkan kira-kira 200 meter.


"Ramai anak saya biasa melihat kejadian aneh. Ketika bermain di tepi sungai, pada jam 3.30 petang, mereka ternampak lembaga tinggi menyerupai wanita, berpakaian serba kuning, separuh tubuh  di dalam air. Badan dia bersisik dan kedua belah tangannya didepakan panjang sambil menari. Melihatkan lembaga itu bak melambai-lambai seperti memanggil mereka, anak saya terus melarikan diri, pulang ke rumah. Emak saya stroke, masa itu dia tidak boleh bercakap tetapi nampak wajah dia ketakutan sambil menunjuk-nunjuk ke atas. Apabila dia sihat, saya bertanya, apakah emak nampak sebenarnya masa itu? Lembaga wanita bertangan panjang," kongsi Nizam.


"Sebelum ini,  kami memanggil kiyai untuk 'memagar' rumah dan kawasan sekitar. Dia pagar tetapi kemudian dikatakan terdapat beberapa lembaga terkurung di dalam rumah kami tinggal sekarang ini, mereka tidak boleh keluar.  Kiyai itu  telah pulang ke Surabaya, Indonesia. Pernah sewaktu saya mengandung anak bongsu, kakak dia ternampak saya di dalam rumah, berdiri sambil  menghadap dinding pada waktu awal pagi. Rambut saya dikatakan diuraikan kehadapan. Mata dan lembaga itu hitam. Lalu anak saya bertanya, ibu, mengapakah ibu berdiri di sini? Bila lembaga itu menoleh, rupa dia, sama dengan wajah saya, cuma tidak ada tahi lalat di bawah dagu. Anak saya bak terpempan dan tidak boleh bergerak," ujar isteri Nizam, Hawa Md Noh, 42 tahun.

Usia rumah itu dianggarkan lebih 40 tahun dan rumah itu ditinggalkan dalam tempoh lama tanpa berpenghuni.

"Puan di mana pada ketika kejadian itu berlaku?," soal saya.

"Tidur," balas wanita berasal dari Melaka itu.

"Pada waktu awal kami tinggal di sini, ada pokok cempedak di hadapan bengkel memang nampak real. Saya ternampak lembaga tanpa kepala, berpakaian serba coklat. Saya pernah terekod gambar seorang budak perempuan Cina memakai cheongsam dan wanita kelihatan seperti pelakon opera Cina.  Gambar itu terakam apabila saya mengambil gambar anak-anak saya," terang Hawa.


"Dahulu, bapa saudara meminta saya memelihara kambing dipelihara di kandang belakang bengkel. Jadi setiap petang saya mencari kambing sedang makan untuk dihalau masuk ke dalam kandang. Beberapa kali, sewaktu senja, saya diekori oleh lembaga bermata besar, merah. Namun saya tidak menghiraukan gangguan sebegitu," celah Nizam.

Tambahnya, kawasan rumahnya dikatakan amat  'keras' pada waktu malam.


Saya dan Razali mendengar penjelasan pasangan suami isteri terbabit.

"Ada juga oang mendakwa, kawasan ini kampung orang bunian, terdapat jambatan merentasi sungai tetapi tidak nampak pada penglihatan manusia biasa. Lazimnya pada waktu Maghrib, boleh dengar bunyi tapak kaki orang berjalan. Saya beberapa kali menempuh pengalaman itu," tambah Nizam.

"Tidak hairanlah beberapa kali di dalam rumah, anak saya terdengar suara orang memberikan salam. Saya percaya ada entiti baik dan jahat di sekitar ini tetapi mereka tidak mengusik, cuma sesekali melintasi kawasan ini dan di hadapan rumah kami," celah isterinya.


"Bolehkah kru Penyingkap Fakta datang untuk merakamkan gambar di dalam bengkel dan di kawasan sekitar pada waktu malam?," tanya saya kepada mekanik itu.

"Boleh, tiada masalah," balasnya pantas.

Jika sesiapa berminat menyertai tinjauan bersama kami, sila hubungi Razali dengan kadar segera di talian 0162315812.

2 Komen :

Nadie az berkata...

dah lama menunggu entri terkini dari PF666...menarik....masih ingat ketika kejadin letupan tersebut saya masih lagi menuntut di tingkatan 6...

Melayu berkata...

Salam

Sy di uni masa tu..tp kalau betul lebih 100 org yg mati, takkan tak ada laporan polis?? Atau depa ni PATI?? Mohon moderator buat cerita lanjutan..atau camping trip kat tepi sungai yg ada perempuan bersisik dan berbaju kuning..ngeri tu!