Ikuti kisah terperinci hasil tinjauan kru Penyingkap Fakta di pelbagai lokasi menggerunkan masyarakat. ... lokasi didakwa berlaku pelbagai kejadian aneh atau penampakan entiti paranormal. Kami melangkah bersama, mengharung onak, duri dan sembilu , mendokumentasikan kenangan pahit manis namun disatukan oleh minat sama. Terima kasih kerana sudi singgah di sini.

Rumah Berhantu Seksyen 2 Shah Alam?

Kisah rumah didakwa berhantu di Seksyen 2, Shah Alam, Selangor tersebar melalui internet, media cetak dan cerita dari mulut ke mulut.

Jam 12.30 malam tadi saya dan 2 kru 666, Razali serta Farid menuju ke Seksyen 2, Shah Alam.

"Mana satu rumah dikatakan berhantu?," tanya Razali kepada pengawal  sekolah berhampiran.

"Jalan depan, sampai simpang belok kiri, rumah sebelah kanan, hujung sekali," balas pengawal sama.

Sebaik tiba berhampiran rumah terbabit, kami keluar dari kenderaan. Razali dan Farid pantas memasang kamera pengesan pergerakan Infrared di tepi jalan menghadap ke arah rumah dimaksudkan.


Kamera terbabit berupaya merekod gambar pegun dan menghasilkan rakaman video berdurasi 10 saat sebaik pegerakan dikesan di sekitar kawasan hadapan lensa.

Kami kemudian bergerak kira 100 meter dari rumah itu dan mengeluarkan peralatan lain.


Perakam audio parabola membenarkan kami mendengar bunyi di sekeliling secara lebih jelas manakala jangkasuhu infrared digunakan untuk menyukat suhu sekitar.

Jam 1.15 pagi kami terlihat sekumpulan remaja berjalan ke arah lokasi kami berdiri.

"Assalamualaikum! Boleh tumpang tanya sikit?," soal Farid.


Biar pun kelihatan teragak-agak, mereka memberikan jawaban kepada soalan dikemukakan oleh Farid sambil diperhatikan Razali.

"Mana satu rumah dikatakan berhantu di sini?," tanya Farid.

"Itu," ujar gadis bertudung putih.

Mereka, pelajar kolej berusia di antara 18 dan 19 tahun.


Seperti dijangka sejak awal, dia menunjukkan kami rumah dua tingkat berpagar tersergam tanpa diterangi cahaya lampu. Rumah sama seperti saya lihat dipaparkan dalam beberapa blog sebelum ini.


Perhatikan peti surat di pagar, tiada tertera nama pemilik mahu pun alamat rumah.


"Macam mana awak tahu rumah ini berhantu?," soal saya.

"Ada kakak kakak serumah, pernah kena kacau," ujarnya.

"Kena kacau macam mana?," soal saya spontan.

"Beg lugage dia orang kena alih. Bila dibaca ayat Al-Quran, lugagae itu macam kena hempas, kira macam 'benda' itu marah," jelasnya.

"Dia orang nampak ke 'benda' menghempaskan beg itu?," tanya saya.

"Tidak," balasnya ringkas.

Malangnya dia bercerita berhubung kejadian didakwa berlaku di rumah sewa bertentangan dengan rumah dua tingkat terbabit.


"Rumah dua tingkat ini pula, apa ceritanya?," soal saya lagi.

"Pernah ada orang nampak macam orang tua perempuan di dalam rumah," ujarnya.


"Ada gambar pegun, video atau audio dirakamkan sebagai bukti?," soal saya.

"Tidak ada," balasnya.

Sedang kami berbual, Farid menghampiri rumah terbabit dan cuba menyukat suhu sekeliling.

"Tujuh puluh satu darjah Fahrenheit," katanya.

Suhu normal.

Razali kemudian mengambil alih tugas itu dan gaya bapa kepada 2 anak itu kelihatan tidak ubah bak juara menembak peringkat kebangsaan.


Sewaktu Farid merakamkan gambar pegun, saya menggunakan perakam audio parabola.

Sebaik alat itu dihalakan ke arah rumah, saya terdengar bunyi cicak, bunyi seperti pintu dibuka dan perabot dialihkan.

Spontan saya memegang beg kecil di dalam poket mengandungi minyak wangi Kasturi Syifa'.

"Saya pun tadi mendengar bunyi sama bro. Lagi pun kawasan ini bising, mungkin bunyi dari rumah di belakang atau rumah sebelah," jelas Razali kelihatan tenang.


Kira-kira jam 1.50 pagi, seorang daripada rakan serumah 3 gadis terbabit datang menghampiri kami. Dia berusia 24 tahun, berasal dari Selangor dan kedengaran petah berkata-kata.


"Sebelum ini orang selalu kacau," katanya.

"Dikacau bagaimana?," soal saya.

"Pernah satu malam, kira-kira 15 orang tua tua datang berdiri di jalan ini. Dia orang ambil gambar dan cuba memanjat pagar. 'Benda' itu, bukan ke kalau dikacau, dia akan kacau kita balik?," dia bertanya.

"Benda apa?," saya pura-pura tidak faham kenyataannya.

"Hantu itulah," jawabnya spontan.

Sekadar ingin mencari kebenaran, soalan berikutnya saya ajukan.

"Macam mana awak tahu rumah ini benar benar berhantu?"

"Orang cakap rumah ini berhantu," balasnya yakin.

"Jadi kalau orang cakap rumah ini berhantu, semestinya berhantu ke? Biar pun setakat ini memang tidak ada bukti nyata?," tanya saya.

Dia terdiam seketika.

"Orang cakap, ada mayat ditanam di dalam rumah ini," katanya.


Andai kata dakwaan itu benar, saya yakin puluhan pegawai dan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor terletak kurang 2 kilometer telah lama 'berkampung' untuk menjalankan siasatan terperinci di rumah sama. 

Pasukan forensik juga pasti tidak kering keringat merungkai dan menganalisa bahan kes. 

Saya kira, dakwaan dihebahkan secara semberono dari mulut ke mulut itu memburukkan imej rumah dan pemilik.

"Pernah ternampak orang tua datang mengambil surat, bila ditanya, boleh ke kami sewa rumah ini? Dia marah," jelas pelajar itu lagi.

Terfikir, barangkali orang tua itu sudah terlalu muak mendengar cerita seram disebarkan. Dia juga mungkin kerugian.


"Rumah bawah awak duduk sekarang, berapa sewa sebulan?," soalan saya ajukan.

"Sembilan ratus ringgit," jawabnya.

Jika tidak didikatakan berhantu, kru 666 menganggarkan sewa bulanan rumah dua tingkat terbabit mampu mencecah RM1,300. Kini, maklumat tercatat di internet mendakwa tiada penyewa sanggup menetap di rumah itu biar pun dengan bayaran RM50 sebulan.

Kru 666 tidak berpeluang melakukan tinjauan terperinci kerana premis itu berpagar dan kami tidak berhajat melanggar undang-undang kerana menceroboh.

Setelah diteliti, kamera perakam pergerakan di tempatkan berhampiran pagar rumah tidak merekodkan visual entiti paranormal.

Namun, kamera digital merakamkan bebeapa gambar pegun entiti dipercayai orbs atau sekadar habuk berterbangan.


Sejak sebulan lalu, kru 666 berhasrat menghubungi pemilik rumah tetapi gagal. Kami ingin memohon kebenaran beliau untuk bermalam di rumah itu dan menjalankan tinjauan sekaligus cuba menyingkap fakta di sebalik rumah dikatakan berhantu itu.

Seperkara lagi, 666 terfikir, mungkinkah kisah seram menyelubungi rumah itu hanya sekadar rekaan sahaja? Atau barangkali gambar rumah sama dirakamkan secara rawak dan pemilik terpaksa menerima bahana?

Untuk berita susulan, klik di sini.

Gambar dan Visual Entiti Dirakamkan (Tinjauan Ke Penjara Pudu)


"Ada bawa minyak wangi Kasturi Syifa'?," soal saya kepada Razali.

"Ada," balasnya.

Itu antara perbualan saya dan kru 666, Razali sebelum semua kru melangkah menuju ke Penjara Pudu, Kuala Lumpur.

Kepada pengunjung belum berpeluang mengikuti tampalan awal berhubung tinjauan kru kami ke penjara terbabit, klik di sini.

Jam 3 pagi kami kembali semula ke bilik lokap pernah ditampilkan di dalam filem Mantra untuk mengambil peralatan perakam audio dan video sekaligus meninjau respon Noni.


Kru 666 kemudian meninjau kawasan sekitar tangga, lokasi Alfee dan Razali mendakwa terdengar jelas bunyi tapak kasut bak ada orang mengekori mereka.


Malangnya setelah siasatan dijalankan, tiada audio atau visual direkodkan.

Gambar berikut kemudian kami rakamkan, barangkali hanya sekadar dust orbs.


 Sewaktu mengambil kembali peralatan di tingkat satu, gelagat kru 666, Atoi saya perhatikan.


Bersungguh Razali dan Farid membantu Atoi mengukur 'ketinggiannya', 158 sentimeter. 

Biar pun rendah, semangat Atoi tinggi dan dia sentiasa kelihatan tenang sewaktu menjalankan tinjauan. Seperti semua kru lain, dedikasi dan komitmennya terhadap 666 tidak dapat dipertikaikan.

Sekali melangkah, tidak berundur.

Lokasi terakhir tinjauan awal pagi semalam, aras bawah Blok C. Saya secara rambang merakamkan banyak gambar di tempat terbabit.

Perhatikan gambar berikut dan tumpukan perhatian pada gambar ketiga, tiada sebarang imej ganjil direkodkan.


Teliti pula gambar saya rakamkan di lokasi dan pada saat sama.


Di gambar terakhir kelihatan objek bercahaya. Imej dimaksudkan kelihatan seperti lembaga hitam di belakang objek terbang berwarna kuning dan merah.

Klip video berdurasi 10 saat di bawah direkodkan kamera perakam pergerakan diletakkan di tingkat dua. Untuk rekod, kamera terbabit diaktifkan secara automatik sebaik pergerakan dikesan.


"Saya orang terakhir meninggalkan kamera dan memang tidak ada cahaya lampu dipancarkan ke ruang hadapan kamera," jelas Razali.

Perhatikan entiti bulat bergerak secara rawak dan pantas. Pada masa sama, kamera terbabit juga kelihatan seperti ditolak ke kiri skrin sebaik cahaya tidak dikenalpasti menyinari dinding penjara di sebelah kiri.

Sewaktu berehat di luar blok, kejadian ganjil didakwa berlaku.

"Saya berjalan, tiba-tiba hujung seluar saya belah kanan terasa macam kena tarik kuat, saya hampir terjatuh," kata Adam.

Beberapa kru termasuk saya kemudian memeriksa laluan Adam, tiada langsung halangan mampu mengakibatkan kaki Adam tersadung.

"Kaki awak ok memang bukan kebas?," soal saya.

"Kaki saya sihat bang, kaki orang muda berusia 24 tahun," balas Adam.

Sewaktu berada di Blok C, kami terlihat beberapa bekas bersepah di lantai.

"Rasanya ini bekas banduan kencing dan berak," kata Farid.


Saya tidak dapat mengesahkan dakwaan itu tetapi tahu terdapat tandas di kawasan berhampiran.

Bilik lokap dan kawasan sekitar berhabuk.

"Suhu paling rendah saya rakamkan 26°C, tertinggi 38°C," jelas Farid kepada kru lain.

Bayangkan bagaimana kehidupan harian banduan dikurung dalam tempoh lama di ruang sempit dan panas itu, azab dan sengasara. 

Sebaik beredar keluar dari penjara terbabit, saya meminta Alfee memprebiu visual dirakamkan di dalam bilik lokap.

Bersama kami menyaksikan rakaman.


"Sebaik kita meninggalkan bilik itu, kelihatan seperti bayang-bayang melintas di ruang lokap dan secara automatik rakaman menjadi kabur, kamera defocus biar pun sebelum itu visual nampak jelas. Hairan, sedangkan kita letak lima batang lilin untuk menerangi kawasan sekitar," jelas Alfee.

Saya harap kita semua akan berpeluang menyaksikan visual dimaksudkan di sini dalam jangka waktu terdekat.

"Lebih hairan, tripod kelihatan bergoyang dan kamera tilt ke bawah," tambah Adam.

Lihat tripod dimaksudkan, teguh.


666 berperanan menyingkap fakta di sebalik pelbagai kejadian ganjil didakwa berlaku di lokasi berbeza. Kami percaya banyak lagi kejadian ganjil masih belum didedahkan di Penjara Pudu.

"Kita semua bernasib baik kerana berpeluang melakukan tinjauan di penjara ini sebelum struktur terbabit dirobohkan," ujar saya sebelum kami bersurai.

Tiada bantahan dari semua kru.


Apa pun, saya yakin jika Noni mampu berkata-kata, pasti dia ingin berkongsi pelbagai misteri selama haiwan itu berkeliaran di blok penjara dan di kawasan sekitar.

Sewaktu bergerak ke arah kenderaan, saya terpandang Noni duduk tenang selepas perut kekenyangan.